Posted in

Dua Sajak Sidang Kultus – Pemikiran Luar Kotak Raihani Mohd Saaid

sidah kultus raihani mohd saaid

Dunia puisi sememangnya tidak pernah ada noktahnya. Ia akan sentiasa hidup meskipun jasad penyairnya telah terkubur beribu tahun. Puisi-puisi Chairil Anwar, Amir Hamzah, mahupun Usman Awang tetap memayungi dunia sastera tanah air dan nusantara, sentiasa baharu dalam nuansa langit dan bumi citranya. Mengulang baca ‘Sidang Kultus’ karya Raihani Mohd Saaid, saya merasakan bara yang belum reda, bara yang masih memijar kepanasannya, apatah lagi dalam bacaan dan ketelitian seorang pengamat dan pengkaji.

Perasaan yang sama saya rasakan terhadap ‘Sidang Kultus’ seperti mana saya merasainya terhadap ‘Sekepal Tanah’ karya Rahimidin Zahari. ‘Sekepal Tanah’ pernah dinobatkan sebagai pemenang Sayembara Puisi Darul Iman suatu ketika dahulu, meraih kemenangan di peringkat tanah air dan nusantara. Namun, dalam peringkat Hadiah Sastera Malaysia, ‘Sekepal Tanah’ tewas kepada sebuah kumpulan puisi milik penyair Kemala. Kenapa demikian? Saya masih mengharapkan agar ada penilaian yang sewajar untuk Hadiah Sastera Malaysia bagi kumpulan puisi ‘Sidang Kultus’ ini.

Dua puisi yang menarik perhatian saya sejak awal ialah ‘Soalan Gerda Lerner‘ (hal. 14) dan ‘Naskhah‘ (hal. 20). Puisi ini pada saya jauh keluar dari jalur pemuisian ketika ini, walaupun ‘Sidang Kultus’ disuguhkan kepada umum dalam bentuk yang ternyata ‘di luar kotak’. Menurut Raihani, sajak-sajak dalam kumpulan ini merupakan “satu kerahan akal dan percubaan meninggalkan gaya persajakan saya sebelum ini. Tema akal budi bangsa dalam sejarah yang menjadi kesukaan atau semacam jati diri saya telah saya beri sudut pandangan baru” (hal. ix). Sebagai penyair yang sentiasa mencari lokasi baharu, Raihani matang dalam mencari wadah bagi menyampaikan pemikirannya.

Dalam usianya 35 tahun sekarang (Raihani lahir pada 12 Jun 1979), apakah dikira sudah terlewat bagi Raihani mencari lokasi baharu bagi pemikirannya? Chairil dalam usia 27 tahun, telah sampai ke puncak kecemerlangannya. Begitu juga dengan Rahimidin, di penghujung usia 20-an, ‘Sekepal Tanah’ telah dihasilkan. Raihani pula, menunggu sehingga usia 34 tahun baru dapat menghasilkan ‘Sidang Kultus’. Kebijaksanaan juga biasanya berada dalam lokasi kematangan penyair, barangkali ini sesuai bagi Raihani. Dalam ‘Soalan Gerda Lerner’, Raihani menulis:

bagaimana rupa wajah sejarah kita
jika ditulis dengan ( oleh ) pena wanita
dan nilainya diatur mengikut tafsiran mereka?

dari kaca jendela ini
wajah sejarah tidak sama
matahari menyudut mataku ke penjuru tanjung
bulan meniruskan matamu ke kaki gunung

apakah akan muncul watak si berani duri mawar
yang menyelamatkan empayar dari terbakar?
apakah akan muncul puspa juwita
yang dilorek wataknya dengan pena saksama?
apakah lembaran ilmu di pustaka
tidak menafikan jemari sutera?

selamanya wajah sejarah itu
air mata yang berombak
laut darah yang menggelegak
bunga yang diracun kelopak

Siapakah Gerda Lerner?

Gerda Hedwig Kronstein dilahirkan di Vienna, Austria, pada 30 April 1920, anak sulung kepada pasangan Yahudi yang berada, Ilona (née Neumann) dan Robert Kronstein. Bapanya seorang ahli farmasi, ibunya seorang artis. Selepas Anschluss, Kronstein menyertai gerakan anti-Nazi dan menghabiskan enam minggu, termasuk ulang tahun kelapan belasnya, di dalam penjara Austria. Beliau berkongsi sel dengan dua wanita bukan Yahudi yang ditangkap kerana kerja politik, yang berkongsi makanan mereka dengan remaja Yahudi itu kerana pengawal penjara menyekat catuan untuk orang Yahudi. Keluarganya berjaya melarikan diri dari Austria; Kronstein, dengan bantuan kekasih sosialis muda, Bobby Jensen, berhijrah ke Amerika Syarikat pada tahun 1939.

Ketika Lerner mula berpindah ke New York, beliau bekerja sebagai pelayan, jurujual, kerani pejabat, dan juruteknik X-ray, sambil menulis fiksyen dan puisi; beliau menerbitkan dua cerpen yang memberikan akaun orang pertama mengenai pendudukan Nazi. Selepas perceraiannya dengan Jensen, beliau bertemu dan berkahwin dengan Carl Lerner, seorang pengarah teater muda yang aktif dalam Parti Komunis Amerika Syarikat (CPUSA). Pada tahun 1940-an, beliau aktif dalam Kongres Wanita Amerika (CAW, sebuah kumpulan wanita yang prihatin terhadap isu-isu ekonomi dan sosial), membantu menubuhkan cawangan Los Angeles pada tahun 1946. Pada tahun 1951, beliau bekerjasama dengan penyair Eve Merriam dalam sebuah muzikal, The Singing of Women. Novelnya, No Farewell, muncul pada tahun 1955; bersama suaminya, beliau menulis skrip untuk Black Like Me. Sebagai komunis yang komited, keluarga Lerner terlibat dalam pelbagai aktiviti akar umbi yang melibatkan kesatuan sekerja, hak-hak sivil, dan anti-militerisme; mereka berjuang menentang McCarthyism, terutamanya Hollywood blacklist.

Lerner kembali ke sekolah pada akhir 1950-an, pada usia 40-an, memperoleh A.B. dari New School for Social Research pada tahun 1963, dan M.A. serta Ph.D. dari Columbia University masing-masing pada tahun 1965 dan 1966; disertasinya menjadi penerbitan pertamanya, The Grimke Sisters from South Carolina: Rebels Against Slavery (1967). Pada tahun 1966, Lerner menjadi anggota pengasas National Organization for Women; beliau adalah pemimpin tempatan dan kebangsaan dalam organisasi itu untuk tempoh yang singkat. Pada tahun 1968, beliau menjadi profesor di Sarah Lawrence College. Pada tahun 1972, beliau memulakan program pertama di sana yang menawarkan ijazah siswazah dalam sejarah wanita (program sarjana). Beliau juga mengajar di Long Island University di Brooklyn. Sepanjang tahun 1960-an dan 1970-an, Lerner menerbitkan banyak buku dan artikel untuk membantu memajukan pengiktirafan sejarah wanita sebagai bidang kajian. Artikelnya “The Lady and the Mill Girl” (1969) adalah contoh awal dan berpengaruh analisis kelas dalam sejarah wanita. Pada tahun 1979, beliau mempengerusikan The Women’s History Institute di Sarah Lawrence College, sebuah persidangan lima belas hari (13-29 Julai), yang ditaja bersama oleh Sarah Lawrence, Women’s Action Alliance, dan Smithsonian Institution, yang dihadiri oleh pemimpin nasional organisasi untuk wanita dan kanak-kanak perempuan. Apabila para peserta mengetahui tentang kejayaan sambutan Minggu Sejarah Wanita Sonoma County, mereka memutuskan untuk memulakan sambutan serupa dalam organisasi, komuniti, dan daerah sekolah mereka sendiri. Mereka juga bersetuju untuk menyokong usaha mendapatkan “Minggu Sejarah Wanita Nasional.” Ini semua membantu membawa kepada sambutan Bulan Sejarah Wanita kemudian.

Pada tahun 1980, Lerner mencipta program Ph.D. pertama negara dalam sejarah wanita, di University of Wisconsin di Madison, di mana beliau kemudian menjadi profesor emerita. Dari tahun 1981 hingga 1982, beliau berkhidmat sebagai presiden Organization of American Historians. Sebagai pengarah pendidikan untuk organisasi itu, beliau membantu menjadikan sejarah wanita mudah diakses oleh pemimpin organisasi wanita dan guru sekolah menengah. Beliau dilantik sebagai Felo American Academy of Arts and Sciences pada tahun 1998. Organization of American Historians menamakan Hadiah Gerda Lerner-Ann Scott untuk disertasi sejarah wanita terbaik sebagai penghormatan kepadanya. Pada tahun 1986, Lerner memenangi Hadiah Joan Kelly American Historical Association sebagai pengiktirafan atas kerjanya mengenai akar penindasan wanita.

Lerner adalah antara yang pertama membawa lensa feminis secara sedar ke dalam kajian sejarah, menghasilkan esei dan buku yang berpengaruh. Antara karya-karya terpenting beliau adalah antologi dokumentari, Black Women in White America (1972) dan The Female Experience (1976), koleksi esei, The Majority Finds Its Past (1979) dan Why History Matters (1997), The Creation of Patriarchy (1986), dan The Creation of Feminist Consciousness (1993). Beliau menerbitkan Fireweed: A Political Autobiography pada tahun 2002.

Sejarah Wanita dalam Puisi Raihani

Apakah yang dimaksudkan penyair sebagai ‘rupa wajah sejarah kita’ ini adalah sejarah Palestin? Ternyata tidak, jika berpandukan hasil karyanya. Beliau menulis tentang perjuangan wanita. Sudah tentu Gerda Lerner tidak menulis sejarah geopolitik dan pensejarahan Israel-Palestin yang sedang membakar waktu ini. Raihani hanya menyebut tentang penglibatan dan perjuangan Lerner dalam membangunkan wanita. Ini bermakna, ‘bagaimana rupa wajah sejarah kita’ pada baris pertama sajak ini bukanlah bermakna sejarah negara, tetapi sejarah kaum wanita. Memang sudah banyak persoalan gender ini dibangkitkan oleh wanita. Norhayati Abdul Rahman dalam bukunya, ‘Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia: Satu bacaan Ginokritik‘ adalah keluhan permasalahan ketidakadilan gender. Begitu juga Free Hearty dalam bukunya ‘Keadilan Gender: Perspektif Feminis Muslim dalam Sastera Timur Tengah‘ adalah pendedahan mengenainya. Raihani menekankannya dalam puisi pula.

Raihani membangkitkan persoalan, ‘bagaimanakah rupa wajah sejarah kita/ jika ditulis dengan pena wanita/ dan nilainya diatur mengikut tafsiran mereka?//‘ Sebenarnya, nilai wanita terutamanya kaum muslimah telah dimuliakan oleh Islam. Ketika kejahilan menyelubungi langit bumi Quraish, di mana wanita hanya merupakan hamba seks bagi kebutuhan nafsu lelaki, dan anak perempuan ditanam hidup-hidup kerana memalukan gengsi keluarga, Allah telah menyelamatkan wanita dan diletakkan dalam kedudukan yang mulia.

Namun, Women Lib di Barat telah menyamaratakan status lelaki dan wanita sehingga kemudian wanita kembali menjadi hamba. Antaranya persamaan hak dalam serba serbi kehidupan sosial. Dan apabila dunia kembali dikuasai oleh liberal dengan kekalahan Islam di Andalusia, maka kehidupan sosial umat Islam juga dipengaruhi oleh pandangan global dan universal ini. Inilah yang dilihat oleh Raihani dalam puisinya ini. Apakah sebenarnya sejarah wanita yang ditulis oleh wanita (yang dimaksudkan di sini ialah Gerda Lerner) adalah penyelamat dalam ‘pengasingan dan perlecehan gender?’ Raihani menulis, ‘dari kaca jendela ini/ wajah sejarah tidak sama/ matahari menyudut mataku ke penjuru tanjung/ bulan menirus matamu ke kaki gunung//‘ Raihani menulis tentang matahari dan bulan. Katanya, ‘matahari menyudutkan mataku ke penjuru tanjung/ bulan meniruskan matamu ke kaki gunung//’ Matahari adalah lambang lelaki dan bulan adalah lambang wanita.

Matahari (lelaki) menyudutkan mataku ke penjuru tanjung dan bulan (wanita) meniruskan matamu ke kaki gunung. Apakah ketika Raihani menulis puisi, fikiran dan perasaannya terkesan terhadap pelengseran wanita terutamanya golongan sasterawani dalam dunia sastera tanah air? Sejak kebelakangan ini, isu Sasterawan Negara di kalangan wanita lantang dibangkitkan. Malah Fatimah Busu dengan lantang menyatakan, dunia sastera Malaysia yang dikuasai oleh lelaki seakan ‘memandang sebelah mata’ terhadap keberadaan wanita dalam sastera. Bukan saja tiada sasterawan wanita dinobat sebagai Sasterawan Negara, malah tiada seorang pun sasterawani wanita diberikan gelaran ‘Dato’ sepertimana kebanyakan sasterawan lelaki.

Natijahnya, Zurinah Hassan telah diberi gelaran Dato’ oleh kerajaan negeri Kedah, negeri kelahiran Zurinah Hassan. Maka bergelarlah di seluruh ceruk rantau negeri dan buana ini, Zurinah Hassan adalah penyair wanita bergelar Dato’ (lengkapnya, Dato’ Dr. Zurinah Hassan), gelaran yang tersebut dalam upacara-upacara rasmi. Apakah ini laluan seterusnya untuk Dato’ Dr. Zurinah Hassan dinobat sebagai Sasterawan Negara daripada kalangan wanita yang pertama di negara ini, setelah 12 orang Sasterawan Negara terdiri daripada kalangan lelaki? Ini menjadi satu perkembangan penting dalam landskap sastera tanah air.

Dalam rangkap ketiga, Raihani menyarankan, ‘apakah akan muncul watak si berani duri mawar/ yang menyelamatkan empayar dari terbakar?/ apakah akan muncul puspa juwita/ yang dilorek wataknya dengan pena saksama? apakah lembaran ilmu pustaka/ tidak menafikan jemari sutera?//‘ Simbol-simbol duri mawar, puspa juwita dan jemari sutera adalah elemen watak wanita. Saranan Raihani adalah, wanita harus memperjuangkan kelestarian dunia wanita itu sendiri. Jangan diharap kepada lelaki. Ini adalah perjuangan wanita. Dan watak yang memperjuangkan wanita di era globalisasi adalah Gerda Lerner sebagai simbolismenya. Konklusi Raihani terhadap wanita selama ini adalah:

selamanya wajah sejarah itu
air mata yang berombak
laut darah yang menggelegak
bunga yang diracun kelopak

Raihani telah membangun citranya dengan cemerlang dalam puisi ini.

Puisi ‘Naskhah’ dan Falsafah Ilham

Puisi kedua yang menarik perhatian saya ialah ‘Naskhah‘. Dalam ‘Naskhah’, Raihani menuliskan:

tak semua hasrat dan keinginan adalah gagasan
kuntum ilham sering berhubung
dengan taman kurnia Tuhan
lalu ramai yang hanya menunggu
sekadar untuk menghidu bau

semua di dunia ini adalah taman kurnia Tuhan
bunga ilham menyimpan madu kata
disaring dengan upaya bahasa
gagasan itu buah lazat
terbaja dari renung dan fikir
dengan diri sendiri, alam dan kebenaran

Puisi ini mengingatkan saya terhadap puisi Baha Zain dan Muhammad Haji Salleh, puisi yang lahir daripada segumpal falsafah. Sememangnya begitulah, puisi bukannya hasilan yang iseng-iseng. Bahasa terbaik dalam susunan terbaik dan dalam naluri yang paling dalam, adalah kata-kata pilihan. Memang bukan jelmaan daripada ayat-ayat al-Quran, tetapi selepas bahasa terindah, puisi adalah bahasa selanjutnya. Sebab itulah, ayat As-Syuara, ayat 225-227 menyentuh golongan penyair.

Bahasa penyair boleh menyesatkan dan juga boleh menjurus kepada kemuliaan. Al-Quran diturunkan dalam kegilaan jahiliah memperagakan puisi dan sajak di dinding Kaabah. ‘Naskhah’ boleh dikonotasikan sebagai ‘kitab’ atau ‘buku’. Kita juga biasa menggunakan perkataan naskhah al-Quran atau naskhah pemasyhuran. Naskhah membawa elemen dan pengertian ‘kebesaran’ atau ‘keagungan’. Demikian ‘Naskhah’ Raihani mahu dijelmakan. Memang puisi ‘Naskhah’ ini antara puisi paling berfalsafah dalam kumpulan ini.

Dalam rangkap pertama, ia sudah menunjukkan gagasan besarnya. ‘tak semua hasrat dan keinginan adalah gagasan/ kuntum ilham sering berhubung/ dengan taman kurnia Tuhan/ lalu ramai yang hanya menunggu/ sekadar untuk menghidu bau//‘ Manusia sering berlobi dengan gagasan dan hasrat terutama sang pemimpin. Kata popular yang sering kedengaran adalah slogan atau manifesto.

Memanglah segala keinginan itu bersandarkan kepada kemurnian hasrat Ilahi. Hasrat ini diluahkan bagi memancing kesukaan ramai dan menakluki emosi mereka. Bagi pemimpin, gagasan, slogan atau manifesto adalah gambaran pemikiran mereka. Pemimpin Malaysia adalah antara pemimpin yang paling terkenal melontarkan ‘naskhah slogan’ bagi memancing rakyat kepada kemampuan diri dan kepimpinan atau terhadap parti yang diperjuangkannya. Dan daripada slogan inilah, ‘ramai yang menunggu/ walau hanya sekadar menghidu baunya//’ Dan inilah yang sedang dialami oleh masyarakat Malaysia. Bermimpi dengan janji-janji muluk yang dilaungkan pemimpin. Namun puisi dua rangkap ini memberi konklusinya begini; ‘semua di dunia ini adalah taman kurnia Tuhan/ bunga ilham menyimpan madu kata/ disaring dengan upaya bahasa/‘. Di sini, Raihani menjelaskan bahawa semua keberadaan di dunia Allah ini adalah milik Yang Maha Kuasa, namun keupayaan manusia memanipulasi bahasa sering memerangkap keinginan manusia. Janji manusia lebih dipercayai daripada janji Ilahi.

Seterusnya Raihani menulis; ‘gagasan itu buah lazat/ terbaja dari renung dan fikir/ dengan diri sendiri, alam dan kebenaran//‘ Rumusan Raihani sangat tepat di mana manusia sering lalai mengunyah dan menyaring antara yang makruf dan yang batil. Pada saya, inilah puncak keupayaan berfikir Raihani yang sepatutnya kita hormati keberadaan dan keberhasilannya. ‘Buah lazat’ mengingatkan saya pada puisi Amir Hamzah iaitu ‘Buah Rindu’. Lihat bagaimana Amir Hamzah menghasilkan ‘buah rindu’nya:

Datanglah engkau wahai maut
Lepaskan aku dan nestapa
Engkau lagi tempatku berpaut
Di waktu ini gelap gulita.

Kicau murai tiada merdu
Pada beta bujang Melayu
Himbau pungguk tiada merindu
Dalam telingaku seperti dahulu.

Tuan aduhai mega berarak
Yang meliput dewangga raya
Berhentilah tuan di atas teratak
Anak Langkat musyafir lata.

Sesa'at sekejap mata beta berpesan
Padamu tuan aduhai awan
Arah manatah tuan berjalan
Di negeri manatah tuan bertahan?

Sampaikan rinduku pada adinda
Bisikkan rayuanku pada juwita
Liputi lututnya muda kencana
Serupa beta memeluk dia

Ibu, konon jauh tanah Selindung
Tempat gadis duduk berjuntai
Bonda hajat hati memeluk gunung
apatah daya tangan tak sampai

Elang, Rajawali burung angkasa
Turunlah tuan barang sementara
Beta bertanya sepatah kata
Adakah tuan melihat adinda?

Mega telahku sapa
Margasatwa telahku tanya
Maut telahku puja
Tetapi adinda manatah dia !

Kematian juga adalah ‘buah lazat’ bagi mereka yang berjuang ke jalan Allah… Wallahua’lam.

Relevansi Puisi dalam Konteks Semasa Malaysia

Puisi Raihani, terutamanya ‘Soalan Gerda Lerner’ dan ‘Naskhah’, bukan sahaja menawarkan renungan mendalam tentang sejarah dan falsafah, tetapi juga beresonansi dengan isu-isu kontemporari di Malaysia. Perbincangan tentang peranan wanita dalam sejarah dan sastera, seperti yang diangkat oleh Raihani melalui Gerda Lerner, adalah sangat relevan. Pengiktirafan terhadap sumbangan wanita dalam bidang sastera, seperti penganugerahan gelaran Dato’ kepada Dato’ Dr. Zurinah Hassan, menandakan satu anjakan paradigma yang positif ke arah kesaksamaan gender dalam arena sastera tanah air. Ini menunjukkan bahawa suara-suara wanita semakin didengari dan dihargai, walaupun perjuangan untuk pengiktirafan yang setara masih berterusan.

Manakala puisi ‘Naskhah’ pula, dengan sentuhan falsafahnya mengenai gagasan dan ilham, secara tidak langsung mengkritik retorika kosong dan janji-janji manis dalam politik dan kehidupan sosial. Dalam lanskap politik Malaysia yang sering dibanjiri dengan pelbagai manifesto dan slogan, puisi ini mengajak pembaca untuk merenung kembali kebenaran dan ketulusan di sebalik setiap hasrat dan keinginan yang dilontarkan. Ini adalah peringatan bahawa nilai sejati sesuatu gagasan terletak pada pelaksanaannya, bukan semata-mata pada keindahan kata-kata.

Harapan untuk Hadiah Sastera Malaysia

Melihat kedalaman pemikiran dan keberanian Raihani dalam meneroka tema-tema baru dan ‘di luar kotak’ dalam ‘Sidang Kultus’, harapan agar kumpulan puisi ini mendapat penilaian yang sewajar di Hadiah Sastera Malaysia adalah wajar. Kemenangan ‘Sekepal Tanah’ karya Rahimidin Zahari di peringkat nasional dan nusantara, namun tewas di Hadiah Sastera Malaysia, menimbulkan persoalan tentang kriteria penilaian. Diharapkan panel penilai akan melihat ke hadapan dan menghargai keberanian eksperimentasi serta kedalaman falsafah yang ditawarkan oleh Raihani, seterusnya memberikan pengiktirafan yang sewajarnya kepada ‘Sidang Kultus’. Ini akan menjadi dorongan besar kepada penyair lain untuk terus berkarya dengan lebih berani dan inovatif.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *